Monday, August 14, 2017

Aurora dan bagaimana ia terbentuk?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pernahkah anda dengar tentang aurora? Aurora merupakan peragaan cahaya yang mempesonakan di langit. Aurora di kutub utara dikenali sebagai aurora borealis atau cahaya utara (northern lights). Manakala aurora yang terbentuk di kutub selatan disebut aurora australis atau cahaya selatan (southern lights).
Kredit: Juri Voit, Estonia, 20 Ogos 2014

Bagaimana aurora terbentuk?

Pada teras matahari, suhu mencapai sehingga 15 juta darjah celsius. Tekanan juga sangat tinggi menyebabkan berlakunya tindak balas nukleus. Dalam tindak balas nukleus, empat atom hidrogen melakur membentuk satu atom helium. Proses ini dikenali sebagai pelakuran nukleus. Tindak balas ini menghasilkan jumlah tenaga yang sangat banyak dan dipancarkan dari teras Matahari ke semua arah dalam bentuk haba dan cahaya. Tenaga haba dialirkan dari teras ke permukaan matahari secara perolakan. Dari proses tersebut, tercipta medan magnet yang sangat kuat di dalam matahari. Di sesetengah kawasan, medan magnet yang kuat itu melonjak keluar ke permukaan. Gas-gas yang bercas elektrik disebut plasma akan menyebabkan medan magnet dilonjakkan keluar dari permukaan matahari menghasilkan ribut suria (solar storm). Ribut suria membawa zarah-zarah bercas iaitu proton dan elektron.



 Nyalaan Suria. Imej dari google


Ribut suria boleh mencapai kelajuan sehingga lebih 8 juta kilometer per jam dan boleh sampai ke Bumi selepas 18 jam.. Apabila melalui planet Utarid (Mercury) dan Zuhrah (Venus), ribut suria akan terus menerpa atmosferanya hingga planet tersebut mengalami peningkatan suhu yang luar biasa akibat terpaan aliran proton dan elektron yang dibawanya. Namun, apabila sampai ke Bumi perkara ini tidak berlaku. Ini kerana Bumi dilindungi oleh lapisan medan magnet yang disebut magnetosfera (magnetosphere).


Imej dari Google
Ketika angin matahari menerpa magnetosfera, partikel-partikel ribut suria dibelokkan oleh medan magnet Bumi dan tertarik menuju kutub medan magnet bumi. Proton dan elektron dari ribut suria akan berlanggar dengan atom-atom oksigen dan nitrogen yang terdapat dalam atmosfera dan menghasilkan cahaya yang berwarna warni di langit yang dikenali sebagai aurora.

Aurora biasanya berwarna hijau tetapi ada juga yang berwarna ungu dan merah. Perbezaan warna ini dipengaruhi oleh jenis atom yang berinteraksi dengan proton dan elektron. Perlanggaran dengan oksigen menghasilkan cahaya merah dan hijau manakala perlanggaran dengan nitrogen menghasilkan cahaya merah jambu dan ungu.

Aurora boleh dilihat di negara-negara berhampiran kutub seperti Greenland, Siberia dan Alaska di kutub utara dan Antartika di kutub selatan. Aurora juga boleh dilihat dari angkasa dan kelihatan seperti hujan yang berwarna-warni. Selain Bumi, Aurora juga dapat dilihat di planet-planet lain seperti Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Saturn), Neptun (Neptune) dan Uranus. Sama seperti Bumi, aurora di planet lain juga terbentuk di kawasan kutub.

Aurora dari angkasa. Imej dari NASA


https://ichef.bbci.co.uk/news/624/cpsprodpb/147BD/production/_86610938_86610937.jpg 
Aurora di planet Zuhal. Imej dari Google

Sila tonton Video di bawah untuk penjelasan lebih lanjut tentang aurora.
Video dari Youtube: FreeSchool



Video dari Youtube: UiO, University of Oslo






No comments:

Yang Nakal-nakal oleh Usman Awang

Sesuai tajuknya, buku ini mengandungi 17 cerpen dan 8 puisi yang dengan nakal mengusik kita membuat kita tersenyum simpul membacanya. Wa...