Ini cubaan pertama saya untuk membuat posting tentang resepi. Saya tidaklah pandai memasak hingga ke taraf chef. Bolehlah memasak untuk kenyangkan perut sendiri, suami, dan keluarga. Asalkan cukup garam, gula dan rasa okeylah kan.
Antara menu yang saya suka masak adalah cucur. Orang Malaysia ni suka memasak pelbagai jenis cucur. Segala macam buah dibuat cucur. Antara yang popular pastinya cekodok pisang. Enaknya cekodok dimakan bersama teh atau kopi panas.
Berikut saya sertakan resepi cekodok pisang my style (^_^). Saya suka untuk tidak meletakkan kuantiti yang diperlukan kerana seperti biasa, orang melayu biasa masak dengan istilah agak-agak. Susah juga nak letakkan kuantiti yang tepat. Saudara saudari boleh bereksperimen dengan bahan-bahan yang ada sehingga dapat memasak cucur yang enak dan sesuai dengan selera masing-masing.
Bahan-bahan:
Pisang ranum (pisang awak, pisang emas enak dibuat cucur)
Gula
Garam
Sedikit serbuk penaik
Tepung gandum
Sedikit air panas
Air biasa (jika perlu)
Cara-cara:
1. Lecek pisang.
2. Tambah gula, garam, serbuk penaik dan tepung gandum. Kacau rata.
3. Tambah sedikit air panas. Gaul rata.
4. Jika adunan masih agak keras, tambahkan air biasa. Jika adunan terlalu lembut/cair, boleh tambahkan tepung.
5. Jemput sikit-sikit guna hujung jari dan goreng di dalam minyak yang banyak. Sentiasa kacau dan balikkan menggunakan sudip supaya cucur masak sekata, bentuknya cantik dan tidak melekat.
Tips:
1. Adunan terlalu lembik akan menyebabkan cucur berminyak (orang Kedah cakap makan minyak).
2. Serbuk penaik terlalu banyak juga boleh menyebabkan makan minyak.
3. Jika pisang terlalu ranum, tambahkan lebih banyak tepung
Adunan yang tidak terlalu lembik, tidak terlalu keras
Makin hitam makin menawan
No comments:
Post a Comment