Sunday, September 28, 2014

Impian besar

Saya ada impian. Kita semua punya impian, mahukan itu dan ini. Mahukan semua kebahagiaan. Saya impikan untuk berkelana ke seluruh dunia. Bukan untuk pergi melihat-lihat tetapi saya impikan untuk tinggal di tempat orang dan menjalani kehidupan orang lain yang mungkin berbeza dengan kehidupan saya selama ini. Saya teringin untuk belajar banyak perkara seperti bermain alat-alat muzik kerana saya suka mendengar orang memetik gitar memainkan lagu-lagu indah. Saya teringin memetik gitar memainkan lagu untuk orang lain. Saya ingin belajar berenang, memanah dan menunggang kuda kerana Nabi suruh kita belajar kemahiran-kemahiran ini. Saya ingin belajar Bahasa Arab, pastinya nikmat membaca al-Quran dengan memahami maksudnya. Saya sangat suka melihat orang melakukan ’bungee jumping’ dan parkour. Alangkah seronoknya kalau dapat melakukan aktiviti tersebut. Saya sukakan magik dan ingin belajar magik. Terlalu banyak impian yang tak mungkin tercatat di sini. 

Banyak perkara yang saya ingin lakukan, yang kita semua ingin lakukan. Impian yang besar membuat kita berani meneroka kebolehan diri dan berusaha mencapai impian kita. Dalam masa yang sama mungkin kita sedar atau mungkin juga tidak bahawa untuk mencapai sesuatu memerlukan pengorbanan dari satu sisi. Saya tinggal di asrama sejak tingkatan 3, 4 dan 5 seterusnya ke Matrikulasi, ke UPSI, melakukan praktikal di Kuala Lipis dan akhirnya kini menetap di Bentong mencari rezeki di sini. Sejak 10 tahun saya hanya pulang ke rumah ketika cuti hujung minggu, atau sebulan sekali atau tiga bulan sekali. Untuk mendapatkan ilmu, kita keluar dan tinggal jauh dari keluarga. Saya mungkin dapat memeluk rakan-rakan di tempat kerja setiap hari tetapi tidak dapat memeluk emak setiap hari. Anak-anak murid mencium tangan saya setiap hari tetapi saya tidak dapat memberi tunjuk ajar kepada adik-adik saya dalam pelajaran. Semua yang kita peroleh hari ini kerana pengorbanan di suatu sisi yang lain. Saya mungkin tidak dapat meluangkan masa dengan keluarga tetapi doa saya supaya Allah menjaga mereka setiap ketika. Bila memeluk rakan-rakan sekerja anggaplah mereka seperti keluarga, seperti kita memeluk ibu, ayah, kakak, abang dan adik kita. Kerana kita tak mungkin memeluk mereka setiap. Impian memerlukan pengorbanan. Pengorbanan saya dalam mencari ilmu pengetahuan dan belajar erti berdikari adalah tinggal berjauhan dari keluarga. Mungkin anda ada pengorbanan yang lebih besar untuk mencapai sesuatu.

Mungkinkah saya mencapai semua impian saya? Masa tidak akan menunggu kita. Kita berimpian melakukan pelbagai perkara tetapi pastinya banyak yang menghalang. Musuh utama adalah wang yang membataskan atau bagi sesetengah orang masa yang menghalang. Mungkin juga kesihatan yang tidak mengizinkan. Jika kita punya impian, berkerjalah ke arahnya walaupun terpaksa mengorbankan sesuatu kerana pastinya kita perlu berkorban sesuatu untuk mendapat yang lain. Janganlah kita kecilkan atau padam semua impian kerana memikirkan semua halangan. Mungkin pada usia 80 tahun barulah saya dapat memetik gitar memainkan lagu untuk seseorang. Siapa tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan? Tetapi saya terus memasang impian walaupun saya tahu pastinya banyak pengorbanan yang yang diperlukan. Semoga Allah meredhai semua pekerjaan kita.

No comments: