Monday, September 14, 2015

Jerebu

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca sekalian.

Sejak beberapa bulan yang lalu, Malaysia telah mengalami jerebu di beberapa kawasan Pantai Barat Semenanjung dan kawasan Lembah Kelang. Menurut sumber berita, kebakaran hutan di Sumatera tengah merupakan punca Malaysia mengalami jerebu. Sejak tiga hari yang lepas, Daerah Bentong Pahang juga mula kelihatan seperti berkabus. Namun, kabus ini tidaklah terasa segar seperti kabus di waktu pagi atau di puncak gunung. Sebaliknya kabus hangat ini berbau abu terbakar, memedihkan mata dan menyesakkan nafas. Pada hari ini jerebu semakin tebal dan kesannya begitu terasa. Guru-guru yang berada di dalam bilik guru juga terasa pedih mata dan sesak nafas, apatah lagi anak-anak murid di dalam kelas yang tidak bertutup dan terdedah kepada udara persekitaran yang berbahaya ini.

Pada hari semalam saya telah memandu ke Jalan Kelang Lama. Sepanjang perjalanan jerebu semakin tebal dan pandangan semakin kabur. Namun masih ramai yang menunggang motosikal tanpa memakai penutup muka. Saya mendapati terdapat papan tanda yang menunjukkan bahawa Indeks Pencemaran Udara di Kuala Lumpur pada ketika itu sekitar 190-200 (tidak sihat).

Indeks Pencemaran Udara (IPU) atau dalam bahasa Inggeris Air Pollutant Index (API) digunakan untuk mengkaji kadar tahap pencemaran udara seperti jerebu akibat daripada pembakaran terbuka dan beberapa faktor lain.

Nilai IPU dikira berdasarkan kepekatan purata setiap pencemar udara iaitu gas sulfur dioksida, SO2, gas nitrogen dioksida, NO2, gas karbon monoksida, CO, ozon, O3 dan habuk halus 'Particulate Matter' bersaiz sehingga 10 mikrometer (PM10). Pencemar udara yang dominan dengan kepekatan tertinggi diambil kira sebagai pencemar yang akan menentukan nilai IPU. Pada lazimnya, kepekatan habuk halus (PM10) adalah yang tertinggi berbanding dengan pencemar yang lain dan ini menentukan bacaan IPU. (Sumber)

Berikut merupakan klasifikasi tahap IPU dan kesan terhadap kesihatan.
 Sumber

Anda boleh semak bacaan IPU di beberapa kawasan tertentu di Malaysia melalui laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di SINI.

Apakah tindakan anda semasa Jerebu?
Sila layari portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapat maklumat lanjut.

Di sekolah juga, pihak sekolah telah mengedarkan topeng muka secara percuma kepada pelajar-pelajar sebagai satu langkah untuk menghadapi situasi ini.




Akhir kata, jagalah kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga terutamanya semasa jerebu ini.

Tuesday, January 13, 2015

Sesi Persekolahan 2015 Bermula

Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca sekalian.

Hari ini merupakan hari kedua sesi persekolahan bagi sekolah-sekolah di Negeri Pahang. Tahun 2015 merupakan tahun keenam saya berada di SMK Khai Mun, Bentong, Pahang. Masih terasa segar di ingatan kali pertama masuk ke kelas pertama, begitu bersemangat bersulam debaran. Tetapi setelah lima tahun menjadi guru, dengan sedikit pengalaman membuatkan diri terasa semakin yakin apabila masuk ke kelas. Banyak perkara yang saya belajar tahun demi tahun. Kalau dulu, buat baik dengan anak murid kerana ingin ambil hati mereka tapi akhirnya kena pijak kepala. Tapi sekarang, mungkin sikit lebih pandai ambil hati murid. (^_*).

Terasa banyak sekali yang ingin diceritakan di sini kerana tak puas menaip hanya di smartphone. Begitu banyak perkara yang berlaku di sana sini. Malah di Bentong pun ada perkara besar yang sedang berlaku sekarang iaitu kejadian jambatan yang rosak akibat hujan lebat yang berterusan dua hari lepas. Satu-satunya jambatan yang merentasi Sungai Bentong telah rosak menyebabkan ramai penduduk Bentong bukan sahaja seolah-olah patah kaki, tetapi macam hilang kaki. Di sekolah saya juga ramai guru yang tinggal di seberang sana Sungai Bentong. Pada hari pertama persekolahan, mereka melalui jalan alternatif melalui Lebuhraya Karak - Sertik - Mempaga - Lebu - Bentong yang jaraknya hampir 50 kilometer (betulkan jika salah).

 Nasib baik pada hari semalam (isnin 12/01), motosikal dan basikal dapat melalui jambatan tersebut. Jadi, tak perlulah melalui laluan alternatif yang sangat jauh tu. Ada juga cikgu di sekolah ini yang mengayuh basikal ke sekolah. Tapi alhamdulillah saya tinggal di kawasan yang tidak memerlukan saya menyeberang jambatan untuk ke sekolah. Petang tadi sengaja memandu kereta ke bandar, memang bandar Bentong semakin lengang tanpa kereta yang banyak. Nak cari tempat parking pun senang. Kalau dulu memang jalan sesak terutamanya selepas waktu bekerja. Namun demikian, pertambahan bilangan motosikal juga agak merunsingkan. Kita perlu lebih berhati-hati semasa memandu kerana risaukan motosikal yang semakin bertambah.

Kejadian ini diharap dapat membuka mata semua pihak bahawa di Bentong langsung tiada jalan alternatif lain untuk menyeberang Sungai Bentong, hanya mengharapkan jambatan yang satu itu. Jalan pintas dari Bentong Makmur ke Sungai Marong pula hanya boleh dilalui oleh motosikal dan kenderaan pacuan empat roda sahaja. Mudah-mudahan kerja-kerja membaikpulih jambatan berjalan dengan lancar dan jambatan tersebut dapat diguna semula dengan segera.

p/s: Mungkin ada baiknya jambatan rosak. Ramai yang mula menaiki motosikal. Kalau rasa selesa naik motosikal ke tempat kerja, boleh lah diteruskan selepas ini. Kalau mengayuh basikal lagi baik.

(dari pahang-ku.blogspot)


Yang Nakal-nakal oleh Usman Awang

Sesuai tajuknya, buku ini mengandungi 17 cerpen dan 8 puisi yang dengan nakal mengusik kita membuat kita tersenyum simpul membacanya. Wa...