Tuesday, January 13, 2015

Sesi Persekolahan 2015 Bermula

Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca sekalian.

Hari ini merupakan hari kedua sesi persekolahan bagi sekolah-sekolah di Negeri Pahang. Tahun 2015 merupakan tahun keenam saya berada di SMK Khai Mun, Bentong, Pahang. Masih terasa segar di ingatan kali pertama masuk ke kelas pertama, begitu bersemangat bersulam debaran. Tetapi setelah lima tahun menjadi guru, dengan sedikit pengalaman membuatkan diri terasa semakin yakin apabila masuk ke kelas. Banyak perkara yang saya belajar tahun demi tahun. Kalau dulu, buat baik dengan anak murid kerana ingin ambil hati mereka tapi akhirnya kena pijak kepala. Tapi sekarang, mungkin sikit lebih pandai ambil hati murid. (^_*).

Terasa banyak sekali yang ingin diceritakan di sini kerana tak puas menaip hanya di smartphone. Begitu banyak perkara yang berlaku di sana sini. Malah di Bentong pun ada perkara besar yang sedang berlaku sekarang iaitu kejadian jambatan yang rosak akibat hujan lebat yang berterusan dua hari lepas. Satu-satunya jambatan yang merentasi Sungai Bentong telah rosak menyebabkan ramai penduduk Bentong bukan sahaja seolah-olah patah kaki, tetapi macam hilang kaki. Di sekolah saya juga ramai guru yang tinggal di seberang sana Sungai Bentong. Pada hari pertama persekolahan, mereka melalui jalan alternatif melalui Lebuhraya Karak - Sertik - Mempaga - Lebu - Bentong yang jaraknya hampir 50 kilometer (betulkan jika salah).

 Nasib baik pada hari semalam (isnin 12/01), motosikal dan basikal dapat melalui jambatan tersebut. Jadi, tak perlulah melalui laluan alternatif yang sangat jauh tu. Ada juga cikgu di sekolah ini yang mengayuh basikal ke sekolah. Tapi alhamdulillah saya tinggal di kawasan yang tidak memerlukan saya menyeberang jambatan untuk ke sekolah. Petang tadi sengaja memandu kereta ke bandar, memang bandar Bentong semakin lengang tanpa kereta yang banyak. Nak cari tempat parking pun senang. Kalau dulu memang jalan sesak terutamanya selepas waktu bekerja. Namun demikian, pertambahan bilangan motosikal juga agak merunsingkan. Kita perlu lebih berhati-hati semasa memandu kerana risaukan motosikal yang semakin bertambah.

Kejadian ini diharap dapat membuka mata semua pihak bahawa di Bentong langsung tiada jalan alternatif lain untuk menyeberang Sungai Bentong, hanya mengharapkan jambatan yang satu itu. Jalan pintas dari Bentong Makmur ke Sungai Marong pula hanya boleh dilalui oleh motosikal dan kenderaan pacuan empat roda sahaja. Mudah-mudahan kerja-kerja membaikpulih jambatan berjalan dengan lancar dan jambatan tersebut dapat diguna semula dengan segera.

p/s: Mungkin ada baiknya jambatan rosak. Ramai yang mula menaiki motosikal. Kalau rasa selesa naik motosikal ke tempat kerja, boleh lah diteruskan selepas ini. Kalau mengayuh basikal lagi baik.

(dari pahang-ku.blogspot)


No comments:

Yang Nakal-nakal oleh Usman Awang

Sesuai tajuknya, buku ini mengandungi 17 cerpen dan 8 puisi yang dengan nakal mengusik kita membuat kita tersenyum simpul membacanya. Wa...