Tuesday, July 31, 2018

DIY Pokok Hiasan ala Pokok Sakura

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini saya ingin kongsi cara-cara membuat pokok hiasan menggunakan ranting kayu dan kertas crepe. Sebenarnya projek ini telah saya hasilkan pada tahun 2015 sebagai hiasan di dalam kelas. Tak pernah terfikir nak kongsikan dalam blog. Projek ini sangat mudah dan bahan-bahannya juga mudah didapati.

Bahan-bahan:
Ranting kayu yang kering (Pilihlah yang banyak ranting supaya lebih menarik)
Kertas crepe (warna mengikut kesukaan)
Syelek
Glue gun
Gunting
Pasu

Ranting kayu perlu dibersihkan dari sebarang tanah atau kotoran. Nak cuci dengan air pun boleh tapi pastikan kering sepenuhnya untuk langkah seterusnya. 

Kemudian, sapu syelek di keseluruhan ranting kayu tersebut dan jemur hingga kering. Setelah kering, sapu lapisan kedua syelek dan jemur hingga kering. Boleh juga sapu beberapa lapisan.

Langkah seterusnya, kita nak buat bunga-bunga sakura. Kita perlukan kertas crepe, guna yang murah pun ok, warna mengikut kesukaan masing-masing. Kalau bunga sakura, tentulah pink dan putih kan. Potong kertas crepe bentuk bulat. Di sini, saya potong bentuk bunga. Mudah saja, lipat kertas empat segi sebanyak dua kali dan potong keliling membentuk bulatan. Tak perlu sama bentuk pun tak apa, bunga kan unik, bukannya terhasil dari acuan.


Jemput di tengah kertas dan bentukkan seperti di bawah.


Buat siap-siap banyak-banyak supaya mudah untuk kita gam pada ranting.


Langkah seterusnya, bolehlah gamkan bunga yang siap tadi pada ranting kayu yang telah kering. Susunlah ikut citarasa masing-masing. Makin banyak bunga makin menarik.



 Ranting yang hampir siap. Tak ada gambar pokok di dalam pasu. 
Ranting yang dah siap ni bolehlah disusun atur di mana-mana yang anda suka.

Selamat berkreativiti!


Monday, July 30, 2018

Cucur Kentang Pedas-pedas Sedap

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni saya nak kongsi resepi cucur kentang pedas-pedas sedap. Resepi ini saya dapat dari perkongsian seorang selebriti dalam majalah Mingguan Wanita. Saya pun dah lupa nama selebriti tersebut. Bahan-bahannya mudah, jadi saya cuba buat sendiri. Ini antara cucur kegemaran saya. Seperti biasa, kuantiti bahan bergantung kepada selera masing-masing. Anda boleh bereksperimen dengan bahan-bahan yang ada untuk mendapatkan cucur yang digemari.

Bahan-bahan:
Kentang - potong dadu
Cili padi - potong kecil
Bawang besar - potong dadu
Tepung gandum
Garam
Sedikit serbuk penaik Air panas
Air biasa


Cara-cara:
1. Campurkan kentang, cili padi, bawang, tepung, garam dan sedikit serbuk penaik. Gaul rata.
2. Masukkan air biasa, gaul rata.
3. Tambahkan sedikit air panas dan gaul rata. Pastikan adunan tidak terlalu lembik dan tidak terlalu keras.
4. Jemput menggunakan hujung jari dan goreng di dalam minyak yang banyak. Sentiasa kacau dan balikkan supaya warnanya sekata dan tidak melekat.
5. Cucur yang siap bolehlah dimakan bersama sos atau sambal.



Sedapnyaa! Cubalah!

Membezakan Asid dan Alkali Menggunakan Bahan di Dapur Anda

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pelbagai bahan di sekeliling kita mungkin terdiri daripada bahan asid, alkali atau neutral. Kita boleh mengenal pasti asid dan alkali dengan menggunakan kertas litmus, kertas pH, larutan penunjuk universal dan larutan penunjuk bikarbonat.

Selain bahan-bahan yang disebutkan di atas, terdapat satu bahan yang mudah didapati di pasar yang boleh digunakan untuk membezakan asid dan alkali. Nak tau apa bahannya? Lihat gambar di bawah.

Imej dari Google

Pelik? Ajaib? Ya, betul. Kobis ungu atau red cabbage ini boleh digunakan sebagai penunjuk untuk mengenal pasti bahan asid dan alkali.

Sebelum menggunakannya, kita perlu kisar kobis ungu bersama sedikit air. Kemudian tapis untuk mendapatkan larutannya. Larutan penunjuk kobis ungu akan berubah warna di dalam bahan asid dan alkali.

Warna merah dalam asid, warna ungu dalam larutan neutral dan hijau dalam larutan alkali 

 
Warna larutan penunjuk universal dalam asid, alkali dan larutan neutral 

Saya pernah menjalankan aktiviti ini di dalam kelas kimia tingkatan 4. Berikut adalah keputusan yang diperoleh.

Larutan berasid

Larutan alkali

 Larutan neutral
Nota: Peluntur di hujung sebelah kiri adalah larutan alkali. Lama kelamaan warna dilunturkan disebabkan oleh sifat bahan tersebut yang melunturkan

Memang cantik, memang menarik dan mengujakan. Anda boleh bereksperimen dengan menggunakan pelbagai bahan yang terdapat di rumah anda. Selamat mencuba!

Tambahan: Di bawah adalah keputusan ujian menggunakan kertas pH menggunakan pelbagai bahan berbeza.





Nota: Keputusan ini tertakluk kepada bahan yang digunakan di dalam kelas pada ketika itu.

Saturday, July 28, 2018

Resepi Cekodok Pisang

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ini cubaan pertama saya untuk membuat posting tentang resepi. Saya tidaklah pandai memasak hingga ke taraf chef. Bolehlah memasak untuk kenyangkan perut sendiri, suami, dan keluarga. Asalkan cukup garam, gula dan rasa okeylah kan.

Antara menu yang saya suka masak adalah cucur. Orang Malaysia ni suka memasak pelbagai jenis cucur. Segala macam buah dibuat cucur. Antara yang popular pastinya cekodok pisang. Enaknya cekodok dimakan bersama teh atau kopi panas.

Berikut saya sertakan resepi cekodok pisang my style (^_^). Saya suka untuk tidak meletakkan kuantiti yang diperlukan kerana seperti biasa, orang melayu biasa masak dengan istilah agak-agak. Susah juga nak letakkan kuantiti yang tepat. Saudara saudari boleh bereksperimen dengan bahan-bahan yang ada sehingga dapat memasak cucur yang enak dan sesuai dengan selera masing-masing.

Bahan-bahan:
Pisang ranum (pisang awak, pisang emas enak dibuat cucur)
Gula
Garam
Sedikit serbuk penaik
Tepung gandum
Sedikit air panas
Air biasa (jika perlu)

Cara-cara:
1. Lecek pisang.
2. Tambah gula, garam, serbuk penaik dan tepung gandum. Kacau rata.
3. Tambah sedikit air panas. Gaul rata.
4. Jika adunan masih agak keras, tambahkan air biasa. Jika adunan terlalu lembut/cair, boleh tambahkan tepung.
5. Jemput sikit-sikit guna hujung jari dan goreng di dalam minyak yang banyak. Sentiasa kacau dan balikkan menggunakan sudip supaya cucur masak sekata, bentuknya cantik dan tidak melekat.

Tips:
1. Adunan terlalu lembik akan menyebabkan cucur berminyak (orang Kedah cakap makan minyak).
2. Serbuk penaik terlalu banyak juga boleh menyebabkan makan minyak.
3. Jika pisang terlalu ranum, tambahkan lebih banyak tepung

 Selamat mencuba!

Adunan yang tidak terlalu lembik, tidak terlalu keras



Makin hitam makin menawan


Thursday, July 26, 2018

Segmen Bloglist 2018 Nurul Najihah

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca.

Hari khamis, 26 Julai 2018.

Setelah lama berblog, masih lagi tidak mempunyai identiti blog. Posting masih lagi berkisar tentang pengalaman peribadi. Mencari-cari Blog Popular di Malaysia, Blog Menarik di Malaysia dan pelbagai lagi kata kunci untuk meninjau blog-blog yang menarik dan boleh dijadikan contoh. Sampailah saya pada satu blog This Little Light of Mine.

Beliau menganjurkan segmen bloglist 2018. Apa salahnya menyertai, sambil-sambil berinteraksi dengan blogger-blogger lain. Sokong menyokong sesama blogger. Kalau nak join, bolehlah klik banner di bawah ya!


Tuesday, July 24, 2018

Susahnya mengingat nama dan wajah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Minggu ini masuk minggu keempat saya berada di sekolah baru, persekitaran baru. Kalau dulu berada di sebuah sekolah yang muridnya terdiri daripada pelbagai kaum termasuk kaum Melayu, Cina, India, Asli dan Sikh. Tapi sekarang, majoriti pelajar KV Alor Setar adalah daripada kaum Melayu dan kebanyakan pelajarnya adalah pelajar lelaki. Persekitaran ini memang sangat berbeza berbanding sekolah dahulu. Namun, mungkin berbekal pengalaman mengajar yang tak seberapa, saya lebih mudah menyesuaikan diri di sekolah ini. Tambahan pula kini saya boleh bercakap dalam loghat tempatan.

Satu perkara yang boleh membantu sesi PdPc guru adalah dengan cara mengingat nama dan wajah muridnya. Setiap guru pasti mempunyai kaedah masing-masing untuk mengingat nama dan wajah anak-anak didiknya. Bagi diri saya, saya akan menyediakan senarai nama murid setiap kelas sebelum masuk ke kelas. Pada permulaan kelas saya akan menyebut nama murid setiap seorang sambil memerhatikan wajah mereka. Bila melihat wajah murid, saya akan cuba membezakan mereka dengan pelbagai cara. Mungkin dari segi bentuk muka, memakai cermin mata atau tidak, rambut panjang atau pendek, ketinggian, kedudukan di dalam kelas dan pelbagai cara yang lain. Dalam masa yang sama, kehadiran boleh diambil dan guru dapat mengetahui muridnya yang tidak hadir. 

Saya akan melakukan perkara ini sehinggalah saya ingat nama semua murid. Apabila sudah ingat nama mereka, lebih mudah untuk saya dalam sesi PdPc. Contohnya semasa guru meminta murid menjawab soalan. Selain itu, jika murid tersebut bising di dalam kelas, guru mudah menegur dengan menyebut nama mereka. Saya boleh mengingat nama murid-murid yang diajar serta wajah mereka dalam satu tempoh yang singkat kerana di sekolah lama, murid Cina mempunyai nama yang pendek, unik dan mudah diingat. Bagi pelajar Melayu, nama mereka lebih panjang dan sukar diingat. Di KV Alor Setar sekarang, saya mengambil masa yang lebih lama untuk mengingat nama pelajar kerana nama mereka yang panjang dan ada nama yang sama. Selain itu, saya sukar membezakan wajah pelajar lelaki yang nampaknya hampir sama semuanya. Agak lucu juga.

Tapi kini setelah masuk minggu keempat saya mula mengingat nama kebanyakan pelajar tetapi masih memerlukan sedikit masa untuk mengingat keseluruhan nama dan wajah mereka. Sejak usia semakin bertambah, nampaknya semakin sukar mengingat nama pelajar.

Lupa menyebut tentang si kembar di sekolah lama dulu. Terdapat dua pasang kembar seiras yang saya ajar selama setahun. Saya masih tak dapat membezakan Suhana dan Suhada atau Hanim dan Hanom. Tapi, saya boleh membezakan Rashmira dan Rashveni kerana fizikal mereka agak berbeza. Rubini dan Rubachini juga tak dapat saya bezakan walaupun tiga tahun mengajar mereka mata pelajaran Sains. Manakala Loke Siu Yin dan Loke Jia Yin baru saja saya temui awal tahun ini, belum sempat mengenal lebih lama. Ada juga kembar tak seiras, Loke Choe Whye, Loke Choe Keong dan Loke Jo Ey yang pastinya berbeza. 
 
 Rubini dan Rubachini, kedua-duanya bercermin mata. 
Miki a/p Sarik atlet harapan olahraga. 
Yang menjenguk di belakang tu Ku Haizatul Hizreen

  
 Emmm...rasanya si kecil comel ni Rubini
 
Rindu pula dengan SMK Khai Mun, Bentong, Pahang. 


Monday, July 16, 2018

Kolej Vokasional Alor Setar, nama baru dalam kamus hidupku

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini 16 Julai 2018, dua minggu telah berlalu sejak menjejakkan kaki di tempat baru. Hampir sembilan tahun saya berkhidmat di Daerah Bentong, Pahang, kini saya kembali ke negeri kelahiran saya di utara tanah air, Negeri Kedah Jelapang Padi Malaysia.

Tahun 2017 dan 2018 sangat istimewa dalam hidup saya kerana terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang dua tahun ini. Kenangan pahit mahupun kenangan manis akan sentiasa tersemat di minda dan menjadi pengalaman berharga buat diri saya. Sesungguhnya setiap yang berlaku adalah penentuan Allah Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diri kita.

Bercerita tentang tempat baru, saya bertukar dari SMK Khai Mun, Bentong, Pahang ke Kolej Vokasional Alor Setar, Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah. Saya telah mula mengisi borang egtukar sejak tahun 2017 namun pada tahun lepas permohonan saya masih belum diluluskan. Setelah mendirikan rumahtangga pada bulan Disember 2017, saya mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk mengisi borang egtukar iaitu berpindah mengikut suami. Namun, pada kali ini, hanya terdapat dua daerah yang dibuka bagi pertukaran ke sekolah harian di Negeri Kedah iaitu Daerah Kulim dan Daerah Langkawi. Memandangkan saya agak keberatan untuk memilih kedua-dua daerah ini telah menyebabkan saya membuat keputusan yang benar-benar mengubah haluan kerjaya saya.

Saya telah mengisi borang egtukar dengan memilih untuk bertukar ke SM Teknik Alor Setar, satu-satunya SM Teknik di Negeri Kedah. Keputusan ini saya buat kerana saya memahami bahawa pengurusan di SM Teknik adalah hampir sama dengan sekolah harian. Tetapi, satu perkara yang saya tidak maklum adalah SM Teknik dan Kolej Vokasional kedua-duanya berada di bawah pengurusan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) dan bukan lagi di bawah pengurusan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH).

Tarikh 1 Jun 2018 (Jumaat) merupakan tarikh di mana keputusan egtukar dapat disemak secara online. Berikut adalah paparan keputusan egtukar.
 TAHNIAH. Permohonan pertukaran anda ke Kedah diluluskan di bawah pentadbiran Bahagian Pendidikan Teknik Dan Vokasional. Sebaik sahaja membaca "Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional", saya menjadi tidak keruan. Saya terus membayangkan bahawa saya juga boleh dihantar ke Kolej Vokasional selain ke SM Teknik. Saya tidak pasti untuk merasa gembira atau merasa sedih, sehinggakan saya tidak memberitahu sesiapa pun tentang kelulusan pertukaran saya ini.

Minggu berikutnya, pada hari Selasa 5 Jun 2018 barulah saya membuka pekung di dada bahawa permohonan saya telah diluluskan. Rakan-rakan yang pertama kali tahu seterusnya pentadbir, bimbang juga kalau-kalau dimarahi pentadbir kerana tidak memaklumkan lebih awal. Minggu tersebut adalah minggu terakhir sebelum cuti hari raya Aidilfitri. Maka, sibuklah ahli Kelab Guru dan Staf Sekolah merancang untuk melaksanakan majlis perpisahan saya. Sedih yang teramat untuk meninggalkan sekolah ini yang pertama mendidik saya mengenal tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Namun, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Semoga hijrah ini membawa seribu satu kebaikan buat diri saya dan keluarga.

Seterusnya, pada tarikh 9 Jun 2018 (Sabtu), telah diumumkan penempatan bagi guru-guru yang berjaya diluluskan pertukaran. Sebelum menyemak, saya masih lagi berharap bahawa saya akan ditempatkan di SM Teknik Alor Setar berbanding mana-mana Kolej Vokasional. Tapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Maka, saya telah ditempatkan di Kolej Vokasional Alor Setar, Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah.


Saya tetap bersyukur  kerana sekurang-kurangnya saya tidak ditempatkan di Kolej Vokasional yang lebih jauh dari rumah saya seperti KV Langkawi atau KV Kulim. Pasti ada hikmahnya pertukaran saya ke sini, walaupun terdapat banyak perbezaan dari segi pengurusan sekolah harian dan pengurusan kolej vokasional. Banyak perkara yang perlu saya pelajari. Mudah-mudahan pertukaran ini menjadi medan untuk saya mempelajari lebih banyak ilmu daripada rakan-rakan guru yang lebih berpengalaman.




1 Julai 2018, hari pertama melapor diri di Kolej Vokasional Alor Setar. Banyak yang menanti saya di sini. Semoga semuanya baik-baik sahaja.

Yang Nakal-nakal oleh Usman Awang

Sesuai tajuknya, buku ini mengandungi 17 cerpen dan 8 puisi yang dengan nakal mengusik kita membuat kita tersenyum simpul membacanya. Wa...