Monday, July 16, 2018

Kolej Vokasional Alor Setar, nama baru dalam kamus hidupku

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini 16 Julai 2018, dua minggu telah berlalu sejak menjejakkan kaki di tempat baru. Hampir sembilan tahun saya berkhidmat di Daerah Bentong, Pahang, kini saya kembali ke negeri kelahiran saya di utara tanah air, Negeri Kedah Jelapang Padi Malaysia.

Tahun 2017 dan 2018 sangat istimewa dalam hidup saya kerana terlalu banyak perkara yang berlaku sepanjang dua tahun ini. Kenangan pahit mahupun kenangan manis akan sentiasa tersemat di minda dan menjadi pengalaman berharga buat diri saya. Sesungguhnya setiap yang berlaku adalah penentuan Allah Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diri kita.

Bercerita tentang tempat baru, saya bertukar dari SMK Khai Mun, Bentong, Pahang ke Kolej Vokasional Alor Setar, Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah. Saya telah mula mengisi borang egtukar sejak tahun 2017 namun pada tahun lepas permohonan saya masih belum diluluskan. Setelah mendirikan rumahtangga pada bulan Disember 2017, saya mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk mengisi borang egtukar iaitu berpindah mengikut suami. Namun, pada kali ini, hanya terdapat dua daerah yang dibuka bagi pertukaran ke sekolah harian di Negeri Kedah iaitu Daerah Kulim dan Daerah Langkawi. Memandangkan saya agak keberatan untuk memilih kedua-dua daerah ini telah menyebabkan saya membuat keputusan yang benar-benar mengubah haluan kerjaya saya.

Saya telah mengisi borang egtukar dengan memilih untuk bertukar ke SM Teknik Alor Setar, satu-satunya SM Teknik di Negeri Kedah. Keputusan ini saya buat kerana saya memahami bahawa pengurusan di SM Teknik adalah hampir sama dengan sekolah harian. Tetapi, satu perkara yang saya tidak maklum adalah SM Teknik dan Kolej Vokasional kedua-duanya berada di bawah pengurusan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) dan bukan lagi di bawah pengurusan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH).

Tarikh 1 Jun 2018 (Jumaat) merupakan tarikh di mana keputusan egtukar dapat disemak secara online. Berikut adalah paparan keputusan egtukar.
 TAHNIAH. Permohonan pertukaran anda ke Kedah diluluskan di bawah pentadbiran Bahagian Pendidikan Teknik Dan Vokasional. Sebaik sahaja membaca "Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional", saya menjadi tidak keruan. Saya terus membayangkan bahawa saya juga boleh dihantar ke Kolej Vokasional selain ke SM Teknik. Saya tidak pasti untuk merasa gembira atau merasa sedih, sehinggakan saya tidak memberitahu sesiapa pun tentang kelulusan pertukaran saya ini.

Minggu berikutnya, pada hari Selasa 5 Jun 2018 barulah saya membuka pekung di dada bahawa permohonan saya telah diluluskan. Rakan-rakan yang pertama kali tahu seterusnya pentadbir, bimbang juga kalau-kalau dimarahi pentadbir kerana tidak memaklumkan lebih awal. Minggu tersebut adalah minggu terakhir sebelum cuti hari raya Aidilfitri. Maka, sibuklah ahli Kelab Guru dan Staf Sekolah merancang untuk melaksanakan majlis perpisahan saya. Sedih yang teramat untuk meninggalkan sekolah ini yang pertama mendidik saya mengenal tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Namun, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Semoga hijrah ini membawa seribu satu kebaikan buat diri saya dan keluarga.

Seterusnya, pada tarikh 9 Jun 2018 (Sabtu), telah diumumkan penempatan bagi guru-guru yang berjaya diluluskan pertukaran. Sebelum menyemak, saya masih lagi berharap bahawa saya akan ditempatkan di SM Teknik Alor Setar berbanding mana-mana Kolej Vokasional. Tapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Maka, saya telah ditempatkan di Kolej Vokasional Alor Setar, Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah.


Saya tetap bersyukur  kerana sekurang-kurangnya saya tidak ditempatkan di Kolej Vokasional yang lebih jauh dari rumah saya seperti KV Langkawi atau KV Kulim. Pasti ada hikmahnya pertukaran saya ke sini, walaupun terdapat banyak perbezaan dari segi pengurusan sekolah harian dan pengurusan kolej vokasional. Banyak perkara yang perlu saya pelajari. Mudah-mudahan pertukaran ini menjadi medan untuk saya mempelajari lebih banyak ilmu daripada rakan-rakan guru yang lebih berpengalaman.




1 Julai 2018, hari pertama melapor diri di Kolej Vokasional Alor Setar. Banyak yang menanti saya di sini. Semoga semuanya baik-baik sahaja.

Post a Comment

Kuih-muih 3 Biji Seringgit

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Negeri Kedah memang terkenal dengan pelbagai makanan yang sedap dan menarik. Kalau singgah di mana-ma...